Filed under: Uncategorized
Hi Ff,
Genap sudah 25 tahun kau pada waktu ini. Jauh sudah perjalanan hidup mu di atas dunia ini. Pelbagai perkara telah kau tempuh, pelbagai manusia telah kau temui, segala onak ranjau dan liku telah kau lalui. Jatuh bangun kau sebagai insan yang kuat dan tabah turut kau rasai. Tahniah Ff di atas semua itu.
Hari ini kau menjadi semakin dewasa dan akan terus matang di dalam hidup mu. Jangan lagi kau pandang ke belakang. Yang dah berlalu pergi itu biarkan ianya terus pergi. Kau mesti terus melangkah dan menjadi diri mu yang terbaik sebaik yang kau mampu. Jadi lah diri mu seadanya. Masih kau ingat tak sebuah sajak yang kau gemari 10 tahun yang lalu. Bukalah catatan yang pernah kau tulis 10 tahun lalu itu. Kini ini lah waktunya untuk kau membaca sajak yang telah kau tulis itu dan lihat lah diri mu kini…yang telah kau sediakan untuk dirimu sejak dahulu lagi. 10 tahun kau simpan dan kini masanya untuk kau baca dan renung kembali…
Jika kau tak dapat menjadi meranti di puncak bukit
Jadilah aur di lembah, tapi jadilah
aur yang teranggun di sisi bukit
Kalau bukan pokok, aur saja pun jadilah
Jika kau tak boleh menjadi rimbun, jadilah rumput
Dan hiasilah jalan di mana-mana
Jika kau tak dapat menjadi haruan, jadilah sepat
Tapi jadilah sepat yang terlincah di dalam paya
Bukan semua boleh menjadi nakhoda, lainnya harus mengikut saja
Pasti ada sesuatu untuk semua.
Kerana Ada tugas yang berat, ada tugas yang ringan
Antaranya dibuat yang mana lebih berdekatan
Jika kau tak dapat menjadi bulan, jadilan bintang
Jika kau tak dapat menjadi semut, jadilah unggas dirimba
yang selalu bernyanyi riang dan menghiburkan
Bukannya mengikut besar kau kalah ataupun menang
Jadilah dirimu sendiri yang terbaik.
Ff, kau telah menjadi yang terbaik kau mampu lakukan, menjadi seorang anak yang terbaik untuk kedua ibu bapa biarpun kadangkala kau tak mampu melunaskan tanggungjawab itu dan adakalanya kau menderhakai mereka. Tapi percayalah pada aku, Ff, kau telah mencuba menjadi yang terbaik. Cuba menghiburkan hati mereka, mendengar akan kata mereka serta menjadi anak yang baik buat mereka.
Tetapi janganlah kau berkecil hati jika kau merasakan masih ada kekurangan di mata mereka kerana ini adalah diri kau. diri kau yang termampu kau lakukan. percayalah pada kata ku ini Ff, bukan mudah untuk diri mu menjadi apa yang dilihat oleh mereka sekarang. Mereka tidak tahu apa yang telah kau korbankan untuk diri mu demi menjadi dirimu sendiri yang terbaik untuk mereka. Kau adalah istimewa dan keistimewaan mu tidak akan dapat dimengerti oleh mereka. Percayalah mereka memahami diri mu seadanya kerana setiap ibu dan bapa itu mahukan sentiasa yang terbaik buat waris mereka.
Ff, jauh sudah kau melangkah dan kebiasaannya kau selalu bersendirian. kau menopeng wajah mu dengan senyuman. senyuman untuk rakan-rakan mu. Ff, runtuhkan tembok yang memisahkan diri mu dari rakan-rakan mu itu. Melangkah lah kau, berikanlah ruang pada mereka mengenali diri mu. Bakarkan topeng yang meraut di wajah mu itu agar mereka mengenali dirimu dan mendampingi diri mu. Percaya pada diriku, kau akan menemui seorang teman yang akan mengenali diri mu dan senantiasa mendampingi mu. berlaku jujurlah kau padanya dan seadilnya lah kau melayan dia atau mereka. Di kemudian hari kau akan mendapat pulangan yang sebaiknya. Inilah erti ikatan persahabatan.
Runtuhkan tembok pemisah mu itu, berikan lah ruang agar mereka dapat memasuki dan memenuhi hati mu. Binakan kepercayaan mu pada mereka dan jangan kau risau dikhianti di kemudian hari oleh mereka kerana dirimu telah menjadi yang terbaik dan tak semua kehendak di dunia ini akan dipenuhi, ingatlah kemanisan dalam menjalinkan persahabatan adalah seperti itu, dikhianati dan disayangi.
Bukan semua boleh menjadi nakhoda, lainnya harus mengikut saja. Pasti ada sesuatu untuk semua.
Ff, dirimu telah menjadi yang terbaik di dalam percintaan. tabah dan cekalkan lah diri mu menghadapi dugaan ini. Jangan kau salahkan diri atas kesilapan yang berlaku. Kau adalah diri mu dan diri mu adalah sebegitu. Jangan kau sesali saat kau kecundang lagi walaupun kau merasakan dia adalah yang terbaik buat mu kerana kau telah lakukan yang terbaik dan menjadi yang terbaik untuk dirinya. Kau hanya perlu belajar dari perkara yang telah terjadi dan percayalah perkara yang terjadi itu berlaku di luar kawalan kau. Kau hanya takut bila bercinta, kau hanya mahukan jaminan di dalam bercinta dan kau hanyakan yang terbaik untuk segalanya. Bukan kau mementingkan diri mu berbading dirinya, tetapi jaminan yang kau mahu dari dia dan saat itu masih terlalu awal untu diri dia menjanjikan yang terbaik buat diri mu. Bangunlah Ff, bertatih lah perlahan lahan jika kau tak mampu terus berjalan. Bila kau sudah mampu ambil langkah mu dan berlari lah sekencang si kuda hitam liar merentas padang nan hijau. Kerana diri mu punya semangat seperti itu.
Jauh sudah perjalanan hidup mu. Percayalah, tidak semua insan berpeluang merasai pengalaman yang telah kau lalui. Pahit getir, asam manis kehidupan menjadi diri mu adalah terlalu indah. hargai lah ianya. Kembalikan diri mu semula dan terus melangkah.
Ff, impian mu masih jauh di hadapan. Masih jauh untuk kau capai dan genggam. Memang terlalu sukar untuk kau capai kan ia. Tapi aku percaya pada dirimu. Kau mampu lakukan. Cuba kau renung kembali. Kisah hidup mu 25 tahun lalu. Sejauh mana telah kau pergi. Seteruk kegagalan telah kau rasai dan semanis kejayaan telah kau genggami nescaya aku percaya diri mu masih mampu untuk melangkah dan mencapai impian mu. kembalikan diri mu pada landasan yang telah kau bina. Teruslah kau melangkah dan bawalah bersama apa yang kau rasa perlu dan jangan kau membebankan diri mu dengan menggalas bebanan yang melelahkan dirimu. Campak kan ianya ke tepi. Buangkan ianya jika kau kehendaki. Jangan kau khuatir atau sesali kerana kaki mu perlu gagah dan kuat untuk terus berlari.
Jangan kau takut akan kegelapan ataupun kesunyian. Banyak kau bisa pelajari dari situ. Jangan kau pandangnya dengan rasa yang gundah gulana kerana kau adalah seorang yang berani. Risiko itu hanya batu penghalang mu di antara kau dan jawapan yang kau cari. tempuhilah ianya kerana seteruk mana pun akan terjadi yang pasti kau dah lalui dan rasai perkara itu. Bangkitlah Ff, palingkan wajah mu ke arah sinar. Carilah diri mu yang sebenarnya. Capailah Impian mu dan teruslah kau melangkah ke hadapan.
Selamat Ulang Tahun yang ke 25.
ikhlas,
Ff
3 Comments so far
Leave a comment
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Ff,
selamat ulang tahun.
setiap daripada kita, memegang peranan & tanggungjawap berbeza dlm kehidupan ini.
dan setiap daripada kita, semuanya menyimpan kisah2 yg juga berbeza dlm kehidupan ini. setiap orang unik dengan ceritanya tersendiri.
hidup satu perjalanan. teruskan berjalan. kita x tahu apa yg telah disediakkanNya utk kita dihadapan sana. Allah tahu apa yg terbaik utk kita. insyaAllah, ada sinar di hadapan sana…
ku doa yg terbaik utk mu ya…
Comment by ciksenyum November 26, 2009 @ 6:53 amhepi buzzday fozol ~
Comment by anap_ilmi November 26, 2009 @ 7:56 amhappy birthday fozol…
Comment by afandiyusof November 27, 2009 @ 10:42 am